SOURCE:
KOLUMNhttp://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2011/6/5/mstar_kolum_khabarnya/20110605114131&sec=mstar_kolum_khabarnyaIS - KHABARNYA...
Published: Ahad Jun 5, 2011 MYT 11:43:00 AM
Berapa kos setiap pelajar?
Oleh ROZAID A. RAHMAN
BARU-BARU ini penulis (sepertimana ibu bapa yang lain) telah menghantar anak ke salah sebuah universiti awam di Pulau Pinang untuk mendaftar sebagai pelajar baru. Penulis ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada universiti ini kerana walaupun kampus cawangannya di Pulau Pinang itu menerima sehingga 4,100 orang pelajar baru, namun segala urusan pendaftaran telah berjalan dengan lancar dan teratur. Jika ada sedikit kekurangan di sana-sini, itu adalah perkara biasa. Mana ada sistem yang sempurna di dunia ini.
Sebenarnya bukan mudah untuk mengendalikan sebuah kampus dengan jumlah pelajar yang hampir 10,000 mahasiswa apatah lagi di bawah prosedur kemasukan, semua pelajar baru diwajibkan untuk tinggal di asrama. Penulis bersyukur kerana anak penulis sepertimana anak-anak yang lain berpeluang untuk menduduki sebuah asrama baru yang serba lengkap dan moden di dalam kampus berkenaan. Kolej kediamannya cantik. Di lobi bawahnya lengkap dengan dewan makan yang besar dan terdapat sebuah bangunan bersambung yang menempatkan pasar mini untuk kemudahan pelajar membeli keperluan harian mereka.
Ketika penulis masih berkhidmat di Kementerian Pengajian Tinggi (yang mengawal selia semua universiti dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta) penulis masih ingat betapa naib-naib canselor setiap tahun berhadapan dengan cabaran dan dugaan bagaimana hendak menyeimbangkan keperluan untuk mengurus tadbirkan kampus mereka dengan tekanan dan desakan daripada ibu bapa yang sentiasa mengharapkan permohonan anak mereka diterima.
Universiti pada satu sudut perlu menjaga kualiti dan juga keperluan mengurus serta mentadbir sebuah kampus yang sangat besar khususnya yang mempunyai kampus cawangan. Barang diingat, universiti adalah ibarat sebuah negara yang tersendiri dan naib canselornya adalah perdana menteri yang mengawal selia keseluruhan kampus. Kuasanya sangat besar tetapi pada masa yang sama menggalas tanggungjawab yang besar juga.
Pada satu sudut yang lain pula, universiti berhadapan dengan kekangan untuk memenuhi permintaan. Jumlah calon yang memperolehi keputusan cemerlang semakin tahun semakin bertambah tetapi jumlah universiti tidak mudah untuk ditambah. Universiti tidak boleh wujud hanya dengan memetik jari. Ia memerlukan perancangan pembangunan, bajet, pentadbiran dan pengurusan yang kompleks dan tersangat besar.
Penulis pernah mendengar Menteri Pengajian Tinggi berkata, kerajaan boleh membina Fakulti Perubatan dan Hospital Latihan di semua universiti awam di Malaysia tetapi selepas siap, nak diisi dengan siapa? Berapa ramai doktor yang berminat hendak mengajar dan menjadi pensyarah? Macamana hendak mengisi jawatan-jawatan pensyarah perubatan jika jumlahnya tidak cukup? Tetapi yang ingin penulis nyatakan di sini ialah, umum tidak sedar setiap tahun berapa bilion yang telah dan perlu dibelanjakan oleh kerajaan demi untuk memastikan seramai mungkin berpeluang belajar di universiti awam. Jika kita tahu dan sedar, kita tidak akan merungut panjang lagi.
Berikut adalah pecahan ringkas perbelanjaan secara umum untuk seorang pelajar setahun (mengikut kursus) di institusi pengajian tinggi awam kita:
Pelajar perubatan: Yuran pengajian setahun (RM47, 278); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM46,878). Pelajar pergigian: Yuran pengajian setahun (RM37, 802); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM37,402).
Pelajar farmasi: Yuran pengajian setahun (RM14,090); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM13,690). Pelajar kejuruteraan: Yuran pengajian setahun (RM12,593); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM12,193).
Pelajar sains komputer & matematik: Yuran pengajian setahun (RM10, 962); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM10,562). Pelajar senibina, perancangan & ukur: Yuran pengajian setahun (RM8, 809); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM8,409).
Pelajar perakaunan: Yuran pengajian setahun (RM9,549); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM9,149). Pelajar pengurusan perniagaan: Yuran pengajian setahun (RM11,131); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM10,731).
Pelajar pengurusan hotel & pelancongan: Yuran pengajian setahun (RM10,674); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM10,274). Pelajar komunikasi dan pengajian media: Yuran pengajian setahun (RM9,271); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM8,871).
Pelajar undang-undang: Yuran pengajian setahun (RM11,589); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM11,189).
Senarai di atas adalah sekadar untuk beberapa kursus yang ditawarkan oleh universiti awam kita. Penulis percaya, lain-lain universiti awam pun kos perbelanjaan untuk seorang mahasiswa tidak jauh bezanya di antara satu sama lain. Setiap tahun adalah dianggarkan sejumlah lebih 40,000 tempat ditawarkan untuk program ijazah pertama di institusi pengajian tinggi awam dan lebih 35,000 untuk program diploma. Ini belum diambil kira program diploma di politeknik, kolej komuniti dan lain-lain institusi pengajian tinggi awam.
Berapa banyak kos yang telah ditanggung oleh kerajaan untuk menampung keperluan ini. Mungkin tidak ada di dunia sebuah kerajaan yang menanggung perbelanjaan belajar rakyatnya sebegitu banyak sepertimana Malaysia. Jika tidak kerana adanya subsidi yuran pengajian yang ditanggung oleh kerajaan bagi setiap pelajar yang diterima masuk ke universiti awam kita, penulis percaya, tidak ada seorang pun daripada kita yang mampu menghantar anak-anak belajar di universiti.
Itu pun selepas kerajaan meliberalisasikan institusi pengajian tinggi negara, lebih banyak universiti swasta yang dibuka dan orang yang berada, mampu menghantar anak-anak mereka ke universiti swasta yang yuran pengajiannya adalah dua kali ganda yuran universiti awam dan tidak ada subsidi yuran pengajian yang diberikan oleh kerajaan. Oleh kerana mereka menyertai universiti swasta, mereka tidak perlu bersaing dengan anak-anak orang miskin dan golongan berpendapatan sederhana untuk mendapatkan tempat di universiti awam. Jadi itu pun kita patut bersyukur.
Dan walaupun telah diberi subsidi, penulis sendiri perlu membelanjakan hampir RM2,000 untuk menguruskan keperluan kemasukan anak ke universiti seperti pakaian, peralatan belajar, wang sara diri dan wang buku teks yang dia perlukan. Ini belum diambil kira wang sara diri setiap bulan untuk tempoh tiga tahun jika dia tidak memperolehi pinjaman atau biasiswa. Bagaimana pula dengan keluarga yang lain? Kepada ibu bapa, buatlah persediaan awal agar tidak membebankan apabila tiba masanya.
|
No comments:
Post a Comment